Thursday, May 19, 2011

Rahsia Di Sebalik Tujuh Ayat Surah al-Fatihah

Surah al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan ‘mim’ dan ada ayat yang akhirnya dengan ‘nun’. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.
Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan.

Antaranya ialah:
1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu
Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan
Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:
a.) Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b.) Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c.) Kedua-dua lutut
d.) Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, “Hidupku dan matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.

• 3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga
Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.

• 4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Allah yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.
Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .’ Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.” (Al Ahqaf: 29).
Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:i. Nafsu ammarahii. Nafsu lawwamahiii. Nafsu mulhamahiv. Nafsu mutmainnahv. Nafsu radhiahvi. Nafsu mardhiahvii. Nafsu kamilah

Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

-----------------------------------------------
 InsyaALLAH sama-samalah kita memanfaatkan rahsia yang terkandung dalam surah ini. Semuga kemanisan beribadat dapat kita kecapi dan amalan kita akan lebih sempurna dengan pemahaman yang jelas. Rahsia AL Fatehah perlu terus digali dan digali....Saya insan lemah dan perlukan  bimbingan dan dahagakan ilmu..Kongsi2kanlah ilmu yang ada

8 comments:

Ummi Humaira said...

assalamualaikum Ain..

walau hanya surah yg pendek tp mempunyai rahsia yg begitu besar.
rahsia dr surah , ayat dan huruf2nya.
MasyaAllah ..

kak chaq mohon copy yer ...

ainhany said...

waalaikumusalam kak chaq,

benar tu...sama2lah kita mnjadi orng yang belajar dan berkongsi ilmu yang ada...

silakan chaq muga allah mmberkati khdupan kta. Amin

tajnur said...

Assalamualaikum wbt
Saya sangat menyanjungi usaha Ustzh Ainhany dlm mendalami ilmu pengetahuan Islam kerana saya sendiri pun pernah melalui zaman bersekolah di pondok Agama. Ilmu2 yg saya pelajari sangat berguna namun kita juga perlu menilai semula apa yg kita telah pelajari sehingga kesemuanya adalah dari Allah (Surah Fussilat:53سَنُرِيهِمۡ ءَايَـٰتِنَا فِى ٱلۡأَفَاقِ وَفِىٓ أَنفُسِہِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ . Memang telah ditetapkan dlm Usul AlFiqh, kaedah2 penetapan sumber perundangan hukum dan istinbatnya (Surah AnNisa:83وَلَوۡ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنۡہُمۡ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسۡتَنۢبِطُونَهُ ۥ مِنۡہُمۡ . Dari sinilah para Imam Mazhab membahagikan kepada 2 bahagian iaitu Penetapan Putus (Qot`ie Tsubut) dan Penetapan Dzon (Dzonni Tsubut) dimana wujudlah dalil putus dalil dzon dari setiapnya utk dibahaskan. Rujukan kitab2 muktabar tafsir dapat dilihat dari `mayaarab.blogspot.com` Saya kira Ustazah Ainhany lebih maklum dalam perkara ini semuga usaha murni mendapat keberkatan dari Allah SWT. Wallahualam

ainhany said...

Waalaikumusalam ustazh,

Terima kasih ats prkongsian. Sejujur dan sebenarnya sya BUKAN ustazh dan tiada pendidikan agama seperti dimaklumkan. Mdpt pendidikan sekular sepenuhnya. Namun saya tetap menghargai & tmekasih kpada ayah emak yang telah mmberi pendidikan dan peluang pelajaran selama ini.

Hkmahnya kini dgn sisa umur yang ada, saya mula mempelajari dan mencari peluang untuk mempelajari, berkongsi dan mngamalkan ilmu yg sedikit ini. Saya hargai setiap perkongsian dan insyaALLAH akan saya kunjungi blog yang telah ustazah sarankan.

Saya akui kelemahan diri, teguri dan pandutunjuklah kembara kehidupan ini muga tak tersasar di bumi sendiri..W'aklam

Terima kasih

sahromnasrudin said...

assalamualaikum kak

trime kasih..ia sangat bermanfaat..sesungguhnya hebat surah al-fatihah ini..selain digunakan dalam perubatan, ia membawa maksud yang tersendiri kan

ainhany said...

Waalaikumusalam dik,

betul tu...
Sama2 kita mnjaga adab dan muliakan AQ ini...Hikmatnya hnya ALLAH jua lebih tu.

Kepada penyelidik, Kita hadiahkan doa ats usahanya..barokallah.

boxhousestudio said...

assalamualaikum warohmatullah hiwabarokatuh wahai ainhany...

terima kasih berkongsi ilmu...BHS rasa berisi benar tazkirah kali ini....

al-fatihah yang kita sebut saban masa, terkandung hikhmah yang besar sekali...

aduhai nak jaga betul betul tajwidnya...tambah tambah kalau jadi imannya....

terima kasih banyak ainhany....tambah ilmu di dada


lagi di baca dan di baca....rasa diri makin kerdil....ibarat setitik ilmu dilautan yang maha luas....rasa tak terjangkau...ALLAH ALLAH ALLAH....

apa pun syukran ainhany....sama sama kita hayati ...ana baca banyak banyak kali bahagian tulisan yang paling bawah..perihal hafsu tu....

ainhany said...

waalaikumusalam wbkth BHS,

syukran...kita sama2 belajar.
Fatihah rukun dalam solat dan molek sgtlah kita cuba faham dan cari rahsia2 ayat tersebu...menurut kata ustaz di sini juga ibu AQ dan ada ayt2 yang perlu kita bca n doakan..nanti ain kongsikan..InsyaALLAH

Terima kasih atas kunjungan ini dan semuga kita sama2 memahami dan mengambil iktibar akan rahsia ayat2 ALLAH ini.