Monday, September 7, 2009

Salam Nuzul Quran

17 Ramadhan …… suatu tarikh dimana sering diadakan sambutan bagi memperingati dua peristiwa penting didalam sejarah Islam. Pertama adalah Nuzul al-Quran dan kedua adalah Peperangan Badar al-Kubra.

Badar menyaksikan pertolongan Allah kepada tentera Muslimin dimana 1000 malaikat yang berserban membantu para shahabat menghadapi tentera musyrikin. Diringkaskan kisah, akhirnya tentera Muslimin telah dihadiahkan dengan kemenangan besar. Tentera musyrikin kecundang dengan menyaksikan 70 tentera mereka termasuk panglima perang iaitu Abu Jahal (Amr bin Hisyam bin al-Mughirah) dan lain-lain pembesar Quraisy terbunuh, manakala 70 lagi ditawan oleh tentera Muslimin.
Sesungguhnya, tanggal 17 Ramadhan tahun kedua Hijriyah, hari yang menyaksikan pembelaan Ahli Badar kepada Baginda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sungguh tidak ada orang yang lebih setia, lebih memuliakan dan lebih mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم melebihi kesetiaan dan kecintaan Ahlul Badr, رضي الله عنهم أجمعين kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Badar juga menyaksikan kecintaan perajurit Islam kepada syahid.

Lihatlah bagaimana mereka menyambut seruan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk keluar berjihad di luar kota Madinah. Saad bin Mu’adz رضي الله عنه berkata …..Demi Allah, seandainya engkau berjalan sehingga sampai ke Barak al-Ghimad (di Yaman), nescaya kami akan berjalan bersamamu. Demi Allah seandainya engkau membawa kami ke menyeberangi, nescaya kami akan menyeberanginya bersamamu ………..

Sayyiduna Saad bin Ubadah رضي الله عنه pula berkata …..Perintahkan apa sahaja yang engkau inginkan kepada kami wahai Rasulullah. Demi Dzat yang jiwaku didalam gengaman kekuasaanNya, jika engkau memerintahkan kami untuk meredah lautan sungguh kami akan meredahnya. Dan jika engkau memerintahkan kami menyelami dasarnya untuk pergi ke Barak al-Ghimad, maka pasti kami akan melakukannya.

Sayyiduna Miqdad رضي الله عنه pula berkata: Wahai Rasulullah … kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana kami Musa berkata kepada Musa: Maka pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya akan duduk menanti disini sahaja (al-Maaidah: 24) – Akan tetapi kami akan berperang di sebelah kananmu dan disebelah kirimu dihadapanmu dan dibelakangmu ….

Allahu Allah. Inilah bukti kecintaan, bukti kesetiaan yang ditunjukkan oleh ahli Badar. Maka tidak hairanlah hingga diriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda : “Allah Ta’ala berfirman kepada Ahli Badar: “Beramallah (berbuatlah) semahu kalian, sungguh aku telah mengampuni dosa kalian” (Shahih Bukhari).

Oleh kerana ketinggian kedudukan ahli Badar disisi Allah, maka para ulama telah menyusun doa yang mengandungi tawasul dengan mereka. Seperti Shalawat Badar, Jaaliyatul Kadar – nazam tawassul oleh 'al-‘Allamah as-Sayyid Ja'far bin Hasan bin 'Abdul Karim al-Barzanji, Saifun Nashar bis Saadatil Kiram Ahlil Badr oleh al-'Allaamah as-Sayyid Ibrahim bin Idris as-Sanusi al-Hasani al-Fasi, Hidayah lis Saalik wa Najaah lil Haalik fit Tawassul bi Ahli Badr wa Shuhadaa’ Uhud oleh Syaikh Muhammad bin Naasir bin ‘Abdullah al-Qadiri asy-Shafi‘ie dan banyak lagi. Ulama di Nusantara iaitu Kiyai ‘Ali Masyhur ada mengarang sholawat yang dikenali dengan Sholawat Badar. Sholawat ini mengandungi tawassul dengan nama Allah, dengan Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم serta para mujahidin teristimewanya para mujahidin Badar.


Mudah-mudahan dengan memperingati peristiwa dan ahli Badar ini, akan mengalirkan kecintaaan, keberkatan serta semangat juang untuk kita terus istiqamah mengamalkan seterusnya memperjuangkan Islam yang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tinggalkan kepada kita.

Sumber : perkongsian: http://al-fanshuri.blogspot.com/2009/09/peristiwa-pada-17-ramadhan.html
أللهم آمين

No comments: