Friday, May 31, 2019

Misi Kami Prihatin 2019_Demi kelangsungan hidup

Menjejak asnaf di Jugra, Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 Ramadan1440H
TeaM: PUSPANITA RTM 

rumah pupple menjadi saksi

Kekuatan seorang ibu adalah pada  anak-anaknya. Apatah lagi  apabila  di uji dengan pemergian suami tahun 2018. 6 orang anaknya yang masih di bangku sekolah manakala selebihnya  bekerja sendiri di  kampung dengan pendapatan yang tak seberapa.

PUAN SAFIAH BT MESRAN merupakan ibu tunggal yang bangun selepas kematian suaminya. Rumah pupple yang dikelingi pohonan  sawit itu nampak suramnya. Anak-anaknya turut menyambut kunjungan ini.Kami perhatikan  wajah sayu anak –anak yatim  ini . Mengusap ubun2 mereka, sebagai mengambil keberkatan sunnah yang rasullullah pernah ajarkan. Semuga ALLAH merahmati anak2ini.

Kami cuba mendekati, tapi mereka seolah-olah lebih selesa membisu seribu bahasa. Anak yang tak mengerti ini selesa untuk bermain sesama sendiri. Itulah lumrah zaman anak-anak yang tak perlu memikirkan masa depan. Bertuah juga Puan Safiah kerana ada rumah peninggalan suami untuk didiami. Biarpun terpaksa membayar kos pembinaan secara beransur-ansur  tetapi  anaknya juga turut membantu.
bersama anak-anaknya
 Kunjungan kami ke sini, biarpun sekejap tetapi dapat menyaksikan sendiri  situasi mereka yang terpilih. Mereka yang bangun selepas pemergian orang tersayang demi kelangsungan hidup.
MISI KAMI PRIHATIN cuba mendekati jiwa-jiwa kecil yang sering terabai apatah lagi di luar bandar. Sekampit #begbiru dihulurkan kepada Puan Safiah. Senyuman terukir di wajahnya cukup membahagiakan kami. Biarpun bercampur rasa sayu itu adalah lumrah jiwa yang lembut hatinya. Mudahan sumbangan ini membantu mereka sekeluarga menyambut Syawal yang bakal tiba. 

Ucapan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan misi ini. Sokongan dan sumbangan diberikan menjadi amanah dan telah disempurnakan. Semuga ALLAH ganjari berlipat ganda atas sumbangan yang telah diberikan. MISI KAMI PRIHATIN  adalah misi bersama PRTM.
 
posing sekali lagi
#misikamiprihatin
#indahsedekah
#ramadan
#jugra2019  

Misi Kami Prihatin 2019 _ringan tulang


Menjejak asnaf di Jugra, Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 Ramadan1440H
TeaM: PUSPANITA RTM 
agak terperanjat di sisi Tuan Imam 
ENCIK MISWANDI BIN TORMAN terpilih menerima sumbangan daripada Misi Kami Prihatin. Sungguhpun beliau hanya bekerja kampung tetapi kudrat nya tak terhenti disitu.  Usai kerjanya mengait dan membersihkan kebun kelapa sawit beliau akan singgah ke Masjid di raja Sultan Aleaeddin.   Menurut kata  Imam Kamarul, En Miswandi ni ringan tulang dan banyak membantu mengurus keperluan semasa masjid. Kadang-kala dialah juga pembantu siak masjid itu

Semasa kehadiran kami di sana, menu istimewa santapan kami. Nasi minyak dan nasi briyani. Beliaulah orang yang bertanggung jawab menguruskan hidangan berbuka dan pengorbanannya amat dikagumi.  Sebagai penghargaan MKP dan masjid telah bersetuju memilihnya sebagai penerima sumbangan ini. Walaupun #begbiru  telah habis tapi kami kekal menggunakan #kotak biru sebagai simbolik misi kami.

Sumbangan ini adalah tanda penghargaaan kami kepada pihak MKP kepada Encik Miswandi dan mendoakan semuga @kotakbiru ini juga memberi keberkatannya. Sdra Muhammad Shahmi Zulkifli yang mewakili volunteer termuda MKP (Siswa) telah menyerahkan sumbangan ini.  Shahmi juga banyak membantu mengangkat beras dan barangan untuk diserah kepada penerima.

MISI KAMI PRIHATIN mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakannya . Gerakan kajayaan ini adalah hasil kerjasama dan semangat berpasukan team MKP dan juga barisan penyumbang  yang budiman dan yang menyokong aktiviti ini dengan doa dan tenaga. Semuga ALLAH menganjari kebaikan yang telah dilakukan.

#misikamiprihatin
#indahsedekah
#ramadan
#jugra2019

Misi Kami Prihatin 2019 _Tuntutlah ilmu

Menjejak asnaf di Jugra, Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 Ramadan1440H
TeaM: PUSPANITA RTM 
tergejut
Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita. Dengan ilmu kita mampu merubah keadaan dan keluar dari  kepompong kemiskinan.  

Antara nak jati kampung ini yang nekad meneruskan pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi ialah  
ENCIK MOHD SHUKRI ABD RAZAK. Ketika kami  mengunjunginya, dia sedang bercuti sem dan menghabiskan cuti bersama keluarga. Situasi PJJ  dan meninggalkan family adalah satu cabaran baginya.
happy family
Bapa berusia 25 tahun ini bernekad akan meneruskan pelajarannya biarpun terpaksa berjimat,  Beliau adalah siswa tahun 3 di UIAM jurusan Usul fiqh. Semangat menimba ilmu inilah yang kita kagumi. 
Perkahwinan bukanlah halangan tetapi satu kekuatan untuk meneruskan pelajaran kerana isterinya sentiasa menyokongnya . Walaupun berjauhan dengan family, namun beliau tidak mengabaikannya . 

Semasa kami mengunjungi mereka sangat terharu dan tergejut. En Mohd Syukri langsung panic tak menyangka MISI KAMI PRIHATIN akan singgah di rumahnya. Kebahagian jelas terpancar bagi pasangan muda ini kerana mereka saling memahami. Beliau memberi laluan kepada isterinya untuk bercakap sebagai mewakili dirinya.

MISI KAMI PRIHATIN mendoakan semuga kejayaan bakal dikecapi dengan usaha yang gigih buat Encik Mohd Syukri. Dengan sumbangan #begbiru ini kita harapkan dapat memberi mereka senyuman menyambut Ramadan dan Syawal kelak.  

Terima kasih kepada para penyumbang dan penderma budiman yang telah membantu menjayakan misi amal ini. Semuga ALLAH rahmati kita semua dan memberi asbab untuk beroleh keberkatan di Ramadan ini. 


#misikamiprihatin
#indahsedekah
#jugra2019

Thursday, May 30, 2019

Misi Kami Prihatin -hapuskan air matamu


Menjejak asnaf di Jugra, Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 Ramadan1440H
TeaM: PUSPANITA RTM 

Wajah keibuan yang kerisauan jelas kami saksikan. Hatinya mudah tersentuh dan jiwanya begitu lembut ketika kami menyantuninya. Ketika itu dia keseorangan di rumah. Di sambutnya kunjungan kami dengan wajah yang suram. Sesekali dia menyeka air mata yang bertakung.


Maafkan kami puan MARIAM BT WASEMAN.  Bukanlah kunjungan kami untuk menambah pilu yang terbungkam setelah kematian suami sejak 21 Ogos 2018 yang lalu. Ibu tunggal ini   mempunyai 7 orang anak. Dua orang diantara mereka masih bersekolah. Di usia 58 tahun, beliau terpaksa menggalas tugas sebagai ibu dan ayah. Mujurlah diantara mereka ada yang telah berkerja  dan turut membantu.


MKP telah menyumbangkan #begbiru yang mengandungi barang-barang makanan asas. Senyuman dan harapan kami agar  Puan Mariam tabah dan yakin ALLAH memilihnya kerana yakin dengan kemampuannya.    Hapuskan air matamu dan pandang dengan mata hati kehidupan perlu diteruskan. 

  
KAMI PRIHATIN merakamkan  penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat,  yang menyumbang dan   memberi peluang untuk MKP  melaksanakan misi ini. Keprihatinan anda mampu mengubah kehidupan seseorang .



Misi Kami Prihatin 2019_rahsia kekal sihat

Menjejak asnaf di Jugra, Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 Ramadan1440H
TeaM: PUSPANITA RTM 

we happy when she smile 

Mak cik…apa rahsia kekal sihat sehingga usia 76 tahun ni” tanya salah seorang daripada  team Misi Kami  Prihatin.  “ makcik ni sejak dari muda dulu lagi suka makan rebus-rebus je." jawapnya bersahaja. Tapi mak cik…rupa mak cik macam 60an..mcm sebaya mak saya jer” tambahnya lagi. Makcik Aminah tersipu senyum dan tunduk malu.

Makcik AMINAH BT MUHTAR mendiami rumah kecil ini berseorangan. Usianya 76 tahun. Nampak sihat dan ceria ja. Walaupun langkah kakinya perlahan tetapi sesuailah dnegan umurnya.  Tiada masalah penglihatan  katanya.   Kelihatan  ruang  tamu dan ruang dapur rumahnya yang kemas dan tersusun rapi.    Orangnya agak pendiam. Tapi setiap pertanyaaan di jawap dengan senyuman. Agaknya petua kekal sihat juga kena banyak senyum kan. "Makcik ni ada telekong baharu dan sedikit keperluan untuk digunakan " kata Puan ellli sambil menatap wajahnya..Elli adalah orang penting menjayakan misi ini.  Mak cik Aminah menerima dan terus memeluknya seraya mengucapkan terima kasih ..(mungkin ada ayat terharu yang hendak diluahkan)  

ni haa  telekong untuk makcik
Walaupun kehidupannya sebatang kara tetapi dia mempunyai jiran yang sentiasa mengambil berat kebajikannya. Pihak masjid telah menyenaraikan namanya untuk  kami santuni. Walaupun ada dikalangan mereka yang dipilih bukanlah kategori asnaf tetapi kerana  tahap kemiskinan dan keperluan, wajarnya mereka juga diberi peluang untuk diziarahi. MISI KAMI PRIHATIN  sebagai perantara bagi melaksanakan amanah yang telah diberikan .

Tiada yang lebih menggembirakan kami selain melihat mereka juga tersenyum menerima kunjungan dan #begbiru dari MISI KAMI PRIHATIN  Sumbangan diberikan muga dimanfaatkan untuk kegunaan harian .  



MISI KAMI PRIHATIN merakamkan  penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat  yang menyumbang dan memberi peluang untuk MKP  melaksanakan misi ini. Keprihatinan anda mampu mengubah kehidupan seseorang 

#misikamiprihatin
#indahsedekah
#jugra2019
#ramadankareem

Wednesday, May 29, 2019

Misi Kami Prihatin 2019_Istana cinta kita

Menjejak Asnaf di Jugra,  Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 ramadan 1440
Team   :  PUSPANITA RTM

Pintu rumah diketuk  oleh Tuan Imam Kamarul Hisham. Beberapa kali juga  salam diberikan. Team MISI KAMI PRIHATIN  telah bersedia di depan pintu rumah bersama beras dan sekampit #begbiru. Sayup kedengaran salam disambut dari  bahagian dapur  dan mempelawa kami masuk ke rumah melalui pintu dapur.

warga emas perlukan pembelaan
Pasangan  warga emas yang kami santuni ini tiada mempunyai  anak. Keadaan kesihatan  juga tidak mengizinkan mereka seperti warga emas lain . Pak Engku Husin  hilang penglihatan sejak beberapa tahun lalu. Manakala isterinya pula kurang sihat dan terhad pergerakan. Beliau  memerlukan sokongan  tongkat kaki 3 untuk bergerak.

Ketika kami sampai, Pak Engku berada di sisi meja makan sambil menanti isterinya menghidang makanan berbuka. Tak dapat dipastikan apa yang tersedia di atas meja tetapi kami yakin meraka antara  warga emas yang sabar dan  bersyukur dengan apa yang ada.

amanah disempurnakan
Inilah ISTANA CINTA kita. Ia dibina dari nilai CINTA dan KASIH SAYANG hingga ke syurga. Kesetiaan isteri kepada suami tidak diukur dengan harta.  Pak Engku yang pada mulanya tak berbaju tetapi ketika di ajak bergambar mencapai baju. Walaupun Pak Engku tak nampak tetapi hatinya tetap cerah dan memahami. 

Maafkan kami kerana kekangan waktu berbuka membataskan kami untuk lebih mengenali dan menggali rahsia kekal bahagia rumah tangga hingga di usia tua.  

Mudahan ada keberkatannya rezeki yang disampaikan  membantu memudahkan urusan mereka. Selain itu rezki yang dimakan akan membantu memberikan kesegaran untuk mereka beribadah dan kekal sihat.


#indahnya sedekah
#misikamiprihatin
#jugra019

Misi Kami Prihatin 2019_kental jiwa

Menjejak Asnaf di Jugra,  Selangor
Tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 Ramadan 1440H
Team   :  PUSPANITA RTM


Rumahnya yang terletak agak jauh di hujung jalan. Untuk sampai ke rumahnya mesti menyusuri kawasan kebun pokok sawit di kiri dan kanannya. Wanita berani ini bernama  PUAN MORPOA BT BARLAN  yang berusia 71 tahun,mendiami rumah pusaka yang agak besar berseorangan. Beliau merupakan ibu tunggal  sejak 2004 yang tidak mempunyai anak. 

boleh tumpang teduh di bawah rumahnya..
Melihat kebersihan  laman rumahnya dapatlah disimpulkan pengalaman  Nek Morpoa sebagai ‘cleaner’ memang tak dinafikan. Sebarisan pokok2 bunga menghiasi laman rumahnya dan bersih. Beliau rajin dan mungkin inilah rahsia kekal sihat hingga warga emas.

Ketika ditanya, beraninya  nek tinggal sorang di rumah besar ini? Dijawapnya
dengan selamba.."nenek ni tak  ada anak. Tapi selagi nenek sihat semua nenek buat sendiri lah. "Adalah juga anak saudara datang teman malam2. Sebab rumah nenek ni agak jauh sikit dari jiran.. Anak-anak doakanlah nenek sihat... kami sama-sama menyahut amin.



Sebelum tinggalkan nenek , saya juga menyempurnakan hajat  anakanda saudara saya Ilyas Tufail. yang baru sahaja memperolehi putera sulungnya .Alhamdulillah dan terima kasih nenek. Sudah pastinya #begbiru berpindah tangan. Mudahan stok yang dibekalkan diharap membantu nenek kekal sihat dan dapat bersama anak2 saudaranya selalu.


Tuesday, May 28, 2019

MisiKami Prihatin 2019- Rambutan baru berputik ni.

Menjejak Asnaf di Jugra,  Selangor
tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 ramadan 1440

Team   :  PUSPANITA RTM

Nenek ASIAH BTT SAMIR  yang berusia 72 tahun ini tinggal bersama anak tunggalnya. Anak perempuannya yang berusia 40an tidak kelihatan ketika itu. Ketika kami menyantuninya dia   berada di ruang dapur. Tidak lekang senyuman dia meraikan kami. 
salam  dihulur, kemaafan dipinta
Dia melayan kami dengan baik. Menurutnya ini adalah rumah yang didirikan oleh aruah suaminya. Mereka suka menanam pokok buah-buahan di kawasan laman rumah. Itu antara  aktiviti  riadah mereka. Kadang-kadang hasil buah rambutan, cempedak akan  di jual  .Namun segalanya tinggal kenangan kini, suaminya meninggal lebih kurang 5 bulan yang lalu. Nenek masih merasai kerinduan pada aruah suaminya, Tapiyang nyata kematian adalah pasti dan kita semua adalah bakal jenazah.

Nenek Asiah seorang yang mudah mesra. Beberapa kali juga dia mempelawa kami datang lagi kerumahnya dan memetik buah buahan yang ada. Terima kasih nek.

Beliau sangat terharu menerima kunjungan dari Team MISI  KAMI PRIHATIN . Sumbangan rezki #begbiru disampaikan kepadanya. Mungkin ALLAH telah takdirkan ini rezeki buat mereka berdua untuk Ramadan kali ini. Sumbangan yang  berikan juga satu perkongsian bersama. Mudah-mudahan berkat makanan yang dimakan memberi kekuatannya untuk beribadah dan mendoakan kita pula. ALLAH telah memudahkan urusan kita.

MISI KAMI PRIHATIN merakamkan  penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat  yang menyumbang dan memberi peluang untuk MKP  melaksanakan misi ini. Keprihatinan anda mampu mengubah kehidupan seseorang .

Misi kami Prihatin 2019_ andainya kamu masih mampu

Menjejak Asnaf di Jugra,  Selangor
tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 ramadan
Team   :  PUSPANITA RTM


5 tahun  lalu, suaminya lah yang menggalas tugas sebagai nakhoda rumah tangga. Bekerja tanpa mengira siang maupun malam. Manakala isterinya  Puan Rosnawati bt Roslan, suri rumah sepenuh masa.. Kehidupan yang disangka panasnya hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.  Sukar menerima kenyataan  ketika itu  suami tercintanya di serang strok.  Puas di rawat  di hospital, di sambung lagi dengan rawatan tradisional. Kini dia berasa lega  walaupun keupayaan suaminya terhad dan tidak dapat bercakap tetapi dia boleh berjalan dengan bantuan tongkat.


Puan Rosnawati bangun selepas kejadian ini. Mengambil alih tugas suaminya mencari rezki. Beliau mula berjinak-jinak mengasuh budak di samping mengurus suaminya di rumah. Beliau bijak membuat keputusan kerana segalanya perlu diuruskan sendiri. Tambahan pula dua anaknya yang masih bersekolah  berusia antara 12 dan 16 tahun memerlukan perhatian dan perbelanjaan.   Anak-anaknya memahami dan mereka turut menjaga ayah yang sakit dan belajar berdikari..Demi keluarga tercinta, Puan Rosnawati nekad akan terus  menunaikan tugasnya dan berdoa satu hari nanti suaminya kembali sembuh dan dapat bercakap seperti biasa dan anak-anak nya menjadi orang yang berjaya. 


Pada Ramadan ke 20, MISI KAMI PRIHATIN telah menziarahi keluarga ini. Menghulurkan sumbangan #begbiru berupa makanan seperti beras, gula, milo,nestom, tepung , susu, santan kotak, bihun, minyak dan macam2 lagi termasuk kit kebersihan diri. Semuga ALLAH memberi ketabahan dan diluaskan rezki yang menerima dan memberi.     

MKP adalah perantara yang melaksanakan misi amal mengumpul dana untuk membantu keluarga daif, asnaf dan miskin sempena Ramadan. Dan hari ini kami telah sempurnakan hajat sahabat semua.  

MISI KAMI PRIHATIN merakamkan  penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat  yang menyumbang dan memberi peluang untuk MKP  melaksanakan misi ini. Keprihatinan anda mampu mengubah kehidupan seseorang .

#Misikamiprihatin
#indahsedekah
#TqAllah

Monday, May 27, 2019

Misi kami Prihatin 2019_ Bukan ku pinta

Menjejak Asnaf di Jugra,  Selangor
tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 ramadan
Krew:  PUSPANITA RTM 

Biarpun Encik SUHAILI BIN MARSIDI cacat pendengaran tapi beliau boleh bertutur. Inilah satu kelainan nya berbanding OKU lain. Gegendang telinganya telah pecah menurut doctor yang pernah merawatnya. Bagaimanapun ia berkait juga dengan faktor keturunan juga kerana ada kakak dan abangnya mempunyai masalah yang sama. Rumah yang kini didiami bersama  8 anak-anaknya  adalah dibiayai oleh PZS pada tahun 2014..

Kedatangan kami disambut oleh isterinya yang  masih dalam pantang. Bayi yang diribanya baru berusia 25 hari dan sangat comel. Beliau begitu terkasima menerima kunjungan kami yang juga  bertindak sebagai jurucakap kepada Encik Suhaili.

Menurutnya, Encik Suhaili akan faham dengan melihat pergerakan bibir ketika berbual.  Dia akan fokus apa yang ditanya dan memberi respon dengan segera. Jadi tiada masalah komunikasi mereka sekeluarga. Encik Suhaili mengiyakan apa yang dikatakan isterinya  dengan tersenyumr. Menurutnya lagi kerana masalah pendengaran juga, pendapatannya tak menentu. Beliau sering mengharapkan ada buah sawit yang hendak di kait atau ternakan  yang hendak dijaga juga rumput yang nak dipotong dan lain lain lagi. Walaupun beliau tidak memilih pekerjaan  tetapi kerana masalah komunikasi membantutkan tugasnya. 

Selain itu En. Shuhaili juga membantu isterinya berniaga rojak. Tetapi kerana isterinya bersalin perniagaan itu ditutup sementara waktu. Kata imam yang menemani kami,, sedap rojak yang dijual nie.  Tak lekang dari bibir mereka ucapan terima kasih dan mempelawa datang lagi untuk menikmati rojaknya. Berbudi bahasa isteri En. Shuhaili. Alhamdulillah

Sebelum pulang, pihak kami juga menyampaikan sumbangan berupa voucer  Kedai Hari-Hari bernilai RM100 untuk kemudahan mereka membeli keperluan raya. Manakala #begbiru juga disampaikan  mengandungi barang keperluan harian termasuklah telekong. 
Hari ini terpancar wajah ceria keluarga ini.MKP mendoakan keluarga ini skan berjaya satu hari nanti.

MISI KAMI PRIHATIN merakamkan  penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat  menyumbang dan memberi peluang untuk MKP  melaksanakan misi ini. Keprihatinan anda mampu mengubah kehidupan seseorang.

#misikamiprihatin
#indahsedekah
#jugra2019

Sunday, May 26, 2019

Misi Kami Prihatin 2019: Demi mak

Menjejak asnaf di Jugra,  Selangor
tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 ramadan
TeaM: PUSPANITA RTM 


anak perempuan setia menemani mak

Bertuah PUAN JAMILAH ABD HAMID, 48 tahun, kerana mempunyai sepasang anak yang bertanggungjawab. Ketika kunjungan kami, anak lelakinya sedang membersihkan laman rumah manakala yang perempuan setia di sisi katil emaknya. Dua beradik ini bukan sahaja pengganti aruah ayah mereka tetapi juga adalah anak yang bertanggung jawab. Mereka saling bergilir menjaga emak mereka yang terkesan kerana  barah otak stage 4. Walaupun bekerja  tetapi emak tidak ditinggalkan sendirian. Ini satu pengorbanan besar anak –anaknya yang mendahului emak berbanding diri sendiri. 
 
Anak lelakinya sedang membersihkan laman rumah
Menurut anak perempuannya, keadaan kesihatan emaknya merudum selepas emaknya rebah dalam rumah  dan  lupa seketika.  Hingga kini mental ibunya sukar dijangkakan. Kuman barah semakin aktif menyerang otaknya. Ia begitu drastic dan amat memeranjatkan. Begitulah kehidupan, ALLAH memilih orang yang layak menerima ujiannya dan kita juga diuji sejauh mana hak orang sihat untuk membantu mereka yang memerlukan.

Puan Jamilah masih meneruskan rawatan kimo dan beliau akur dengan nasihat doctor. Anaknya lebih memahami perubahan  tindakan emak mereka kesan selepas kimo. Jiwanya cepat sensitive dan kurang selera makan. 
tag hospital di pergelangan tangannya
Ketika kunjungan ini anaknya cuba bertanya sama ada emak mau duduk atau baring tapi katanya sakit . Berat mata memandang,  cukuplah kami melihat sendiri situasinya .   

Sebelum tinggalkan mereka, saya bersalaman dan mengusap kepalanya dengan memberikan  pengharapan kepadanya. Lantas dalam pelukan itu..dibisikan  di telinga saya ….”nak doakan makcik ya” bersama nada sebak dan perubahan pada riak wajahnya.  Saya cuba memahami maksud mendalam yang diluahkannya tapi saya juga manusia yang lemah. Hampir juga saya tak dapat mengawal perasaan. Sabar ye puan..insya allah kita sama2 doakan syifa ye..  Saya  mudah tewas bila situasi begini dan  cuba mengalih tajuk. Saya maklumkan tujuan dan apa yang yang dibawa dalam #beg biru itu..Ucapnya sekali lagi terima kasih dan sayup mata memandang. Saya renung dia lagi sehinggalah dia memejamkan matanya ...mungkin bagi meredakan keresahan jiwa yang terbungkam. YA ALLAH, Angkatlah penyakit nya dan gantikanlah dengan  kesembuhan kepadanya tanpa meninggalkan sebarang kesan dan kekalkan kebahagian buat mereka sekeluarga. 
 
Sama-sama kita doakan muga ALLAH bekalkan kekuatan dan ketabahan kepada family ini dan ada keajaiban kesembuhan buat Pn Jamilah.  Insy ALLAH
Berbahagialah ibu ayah yang memiliki anak-anak yang mampu menguruskan sendiri ketika diperlukan. Syurga di bawah telapak kaki ibu dan hargailah  ketika mereka masih bersama.

MISI KAMI PRIHATIN merakamkan  penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat  yang menyumbang dan memberi peluang untuk MKP  melaksanakan misi ini. Keprihatinan anda mampu mengubah kehidupan seseorang .

#misikamiprihatin
#indahsedekah
#jugra2019

Misi Kami Prihatin 2019_berikan senyuman


Menjejak asnaf di Jugra,  Selangor
tarikh : 25 Mei 2019 @ 20 ramadan
TeaM: PUSPANITA RTM 

Para raut wajahnya nampak tenang. Menghulur salam dan meraikan kunjungan  MISI KAMI PRIHATIN  kerumahnya.  Menjemput kami masuk kerumah dan memperkenalkan isterinya kepada kami. Inilah gambaran kehidupan ENCIKMOHD ZAIDI JAIN.   

Namun ayah kepada 3 orang anak ini sebenarnya sedang diuji ALLAH. Anaknya yang sulung akan menyambung pelajaran di ILP manakala dua lagi masih di sekolaah menengah. Kedudukan ekonomi kilangnya tidak menentu membuatkan pekerja juga terbabit menanggung risiko  Dia yang telah lama bekerja kini terpaksa akur  menerima gaji basic sahaja tanpa elaun lain untuk kelangsungan hidup. Pada ketika kami temuinya juga, beliau baru kehilangan motosikal. Itulah kenderaaan utamanya. Walaupun laporan polis telah namun harapan untuk ditemui semula agak suram.

Kecewa..ye dia kecewa dan berkata..kenapalah tak dicuri harta daripada orang-orang kaya...??
Perasaan ini akan zahir daripada mulut sesiapapun tatkala diuji..mengapa saya tidak orang lain? Sedangkan, hakikatnya pasti ALLAH akan gantikan dengan  yang lebih baik di penghujungnya .
Bertabahlah seketika lagi, dibalik hujan pasti ada pelangi menyinari.

MISI KAMI PRIHATIN turut menyumbang 2 kampit beras termasuk keperluan dapur, kit pejagaan diri dan sepasang telekong  sejadah. Ini adalah hasil sumbangan para dermawan juga jualan projek wakaf dan infaq yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan dan Sosial PUSPANITA RTM.  Sumbangan  ini diharap dapat membantu meringankan bebannya sempena menyambut Syawal akan datang.
wakil en  zaidi

MKP turut bergambar kenangan 
Sesuatu yang mengujakan, berlaku tragedy yang tak diduga. Ketika pemandu kami   mengundur kenderaan, dia terlanggar dengan meter paip  air yang tidak dipekung. Termanggu seketika kami satu van. Tapi wajah En Zaidi tenang sahaja.  Kami berjanji akan meminta pihak masjid uruskan kerosakan pili air ini dan meminta maaf kepadanya. Kos pembaikan juga akan kami tanggung.  Bagaikan memberi sinar baharu kepadanya kerana semasa pembaikan dibuat pada hari Ahad,  paip tersebut didapati telah rapuh dan perlu gantian. Rupanya takdir ALLAH itu lebih baik dan penggantian baru pun dibuat dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kami. Takdir ALLAH  mengajak kita berfikir lagi dan lagi.

#misikamiprihatin
#indahsedekah
#ramadan 

Misi Sentuhan Kasih Part 4 @ Pulau Mabul

Tajuk : Bersama Anak anak Bajau Laut di Semporna dan Pulau Mabul
Anjuran : Srikandi Jariah Qaseh
Tarikh : 7-10 April 2019
Pengarah Program: Puan Natipah Abu
Ketua Penyelaras Program : Puan Zee Zainal
Ahli :  Hasnah Hj Mokhtar
           Julita Abdul Malik
           Siti Juliza Baharom
           Nur Helmi Mohd Yusof
           Nor Aini Mansor
           Eiyda ( fasha ku)

09/4/2019 HARI SELASA (hari ke 3)

Alhamdulillah...Sayup kedengaran suara azan subuh dari masjid, Jam menunjukan pukul 4.35 pagi.    Saya bangun, mandi dan mengerjakan solat subuh dengan tenang sekali. Bilik yang memuatkan dua katil bujang  ini agak terbatas ruangnya.  Hari ini cuacanya agak sejuk bukan sahaja kerena aircond tetapi cuacanya juga. Saya sebilik dengan Ezza. Beliaulah sahabat yang menggerakan TEAM MAHLIGAI QASEH. Walaupun kumpulan kami kecil tetapi tidak membataskan kami untuk melakukan kerja amal. Kami bertemu dalam program yang sama tetapi ruang waktunya agak terhad. Dia mempunyai tanggung jawab terhadap familynya. Jadi peluang waktu inilah kami berbual dan berkongsi pengalaman.

Sekitar jam 5.20 am, saya telah keluar dari bilik penginapan dan berada di atas jambatan. Menyaksikan pemandangan pagi yang mendamaikan. Warna-warni yang menghiasi langit  pagi begitu memukau. Saujana mata luas memandang.. Semakin tinggi saya berada, semakin jauh pemandangan saya saksikan. Dalam masa yang sama saya merenung perahu2 yang berlabuh nun di sana. Walaupun anggaran jaraknya 300-500 meter jauhnya dari daratan tetapi sayup2 kedengaran suara anak-anak menangis.  Ada 2- 3 buah perahu yang berlabuh di situ. Dari sampan itulah memuatkan satu keluarga. Patutlah  ada anak  yang tidur  di atas bumbung. Saya cuba amati mereka dari jauh...Sang ibu telah bangun dan mundar-mandir beralih ke perahu kecil. Mungkinkah menyediakan susu bagi meredakan tangisan di anak?? Saya lihat seawal pagi itu mereka telah bangun...
Di sini saya memandang selautan 

antara perahu bajau laut bermalam di situ
panorama pagi
Inilah wajah sebenar kehidupan P' LAUT. Panggilan untuk orang Bajau Laut. Mereka mendiami perahu itu dan itu rumah dan kehidupan mereka. Apabila siang mereka meraih rezeki sebagai pelaut atau menjaja hasil laut kepada orang tempatan. Mereka adalah penduduk tanpa kad pengenalan kerana asal usul mereka tidak dapat dipastikan . Mungkin generasi terdahulu mereka adalah berasal dari negara jiran yang berdekatan samada Filipina ataupun Indonesia.  Mereka berteduh di situ kerana faktor keselamatan dan bebas dari angin kuat. Menurut mereka juga sekiranya hujan dan laut berombak kuat mereka akan berteduh di jambatan ataupun berhampiran darat.  Dapatlah di katakan secara puratanya dalam sebuah perahu sekitar 5-11 orang mendiaminya. Ini adalah maklumat diperolehi secara tak langsung hasil temubual dan pengalaman di sini.

Ketika saya asyik memerhati alam sambil menghafal zikir mathsurat, saya bersyukur kepada ALLAH kerana terpilih untuk menyertai Misi Sentuhan Kasih bersama anak bajau laut ini.
Di antara ramai sahabat maya Ketua Program saya dipelawa ikut serta. Walaupun pada mulanya saya sekadar berkata ya tetapi sayalah yang paling lewat menyerahkan duit untuk kos penerbangan dan penginapan.  Andaikata penyertaan di tolak saya tak nafikan inilah kelemahan saya lewat membuat keputusan. Alhamdulillah dan terima kasih kepada ketua dan penyelaras program yang sabar dan pantas dalam tindakan.

Melihat kebesaran ALLAH  yang terbentang luas Saya juga tak dapat bayangkan betapa luasnya anugerah alam ni dan betapa kerdilnya seketul saya di sisi ALLAH. Untuk sapa dan mengapa diciptakan ??? Apakah impaknya Pulau Mabul yang leper  dan terpencil tetapi ada keistimewaannya tersendiri. Teringat2 surah ar Rahman..Nikmat ALLAH yang manakah kamu dustakan?? Subhananallah
untuk seketika
mencari sesuatu yang hilang

subhanallah


Pagi itu saya berkesempatan menyaksikan matahari naik . Dari  Kapalai Resort lebih jelas nampak perubahan matahari naik. Saya dapati ada profesional cameraman  telah standby sejak awal lagi memacakkan tripod dan memilih port mereka. Biarlah mereka merakam pemandangan yang terbaik dan kita juga ada kreativiti untuk merakamnya.

SUBHANALLAH.
ALHAMDULILLAH
ALLAH AKBAR

Saya dan zee menjadi saksi kejadian ALLAH. Indahnya peredaran malam dan siang dan betapa kita perlu mengetahui ALLAH lah pencipta alam ini. Hati saya  bertasbih dan merakam momen indah ini. Berdiri di celahan batu batu dengan berlatar belakangkan laut yang menghijau.  Apakah ini percutian terakhir kita wallhuaklam.

Sebelum balik ke penginapan. kami singgah kedai makan berhampiran dan bersarapan dulu. Tika itu baru jam 7.30 pagi tapi suasananya terang benderang.

hari ke 3 adalah hari untuk para sukarelawan bersantai. Bak kata Ketua Penyelaras free and ezy.  Apa lagi bila sahabat SJQ mengajak.  Pakej ditawarkan sebanyak Rm 200 utk discovery dan Rm 100 utk snocking ...... saya memilih kedua-dua pakej ini bagi merasai pengalaman. Kos perbelanjaan ini adalah tangung jawab sendiri.

Jam 1030am
misi pengembaraaan
Tetapi sebelum kembara di lautan bermula, kami diberi taklimat ringkas cara2 pernafasan dan kaedah yang perlu digunakan sepanjng berada 8 meter di dasar laut. Ini adalah sesi pertama saya mendengarnya dan memahaminya. Keterujaaan saya bercampur antara kemahuan atau kehendak. Bukan persoalan mati tetapi mampukan saya dan apa yang akan saya saksikan....? Mengapa ALLAH memilih saya , diantara kesepuluh saudara dlam family,  di kalangan anak buah seramai 55 orang juga sahabat2 saya yang lain...Tentu dan pasti ada sesuatu penyaksiaan...

Ayuh saya berani kerana saya yakin....ALLAH jadikannya bersebab dan supaya saya lebih mengerti  ERTI SYUKUR di saat tiada apa lagi mambantu dan BERSERAH apabila tiba masa dan tikanya...

----bersambung

Saturday, May 11, 2019

Perlukah

perlukah aku hapus
airmata yang mengalir ini

perlukah ku hapus
sendu sebak di jiwaku ini

perlukah 
ku membenam kisah semalam

perlukah???




11/5/2019

Tuesday, April 30, 2019

Misi Sentuhan kasih Part 3 @ Mabul

Tajuk : Bersama Anak anak Bajau Laut di Semporna dan Pulau Mabul
Anjuran : Srikandi Jariah Qaseh
Tarikh : 7-10 April 2019
Pengarah Program: Puan Natipah Abu
Ketua Penyelaras Program : Puan Zee Zainal
Ahli :  Hasnah Hj Mokhtar
           Julita Abdul Malik
           Siti Juliza Baharom
           Nur Helmi Mohd Yusof
           Nor Aini Mansor
           Fasha( Eiyda)

8/4/2019 ISNIN (HARI KEDUA)


Waktu subuh sekitar jam 4.30 pagi.  Lenaku bagai dikejutkan sekitar waktu tersebut. Ku cuba pejamkan mata lagi ...tapi tak mampu ku teruskan . Akhirnya ku bangun untuk mandi, solat subuh dan membaca al mathurat. Alhamdulillah. ketikar jam 5.30am..Dari jendela ku lihat dan dengar bunyi kenderaan dan bot.  Diri ni menjadi bosan bila berada lama di dalam bilik yang diinap kami bertiga. Jadi saya pun mengambil keputusan keluar meninjau kawasan sekitar. Jam di telefon belum menunjukan angka  jam 6 pagi tetapi suasananya macam jam 7 pagi di semenanjung.

Mulalah saya melangkah ke kanan dan kiri dan mengukur keluasan Dragon Inn . Kami memilih penginapan di sini memandangkan ia dekat untuk menyeberang ke Pulau Mabul dan berdekatan dengan bot.Di awal pagi suasananya selesa dan kedengaran desiran air apabila ada bot yang bergerak. Penginapan atas air itulah yang sinonim di sini dan bolehlah review jika berminat. Sambil berjalan dan melihat indahnya panorama alam di siang hari berbanding malam. Untuk kemudahan pelancung juga kedai cendemata dan baju T juga disediakan di sini. Di sini juga saya, k pah, zee dan amiey membeli topi . Ala-ala pelancong gitu. Abaikan sampah yng memburukan pandangan air di sini

Dengan  hanya menyeberang jalan raya, sekitar 50meter sahaja, dua deretan kedai makan disediakan. Jadi ia memberi kemudahan kepada pelancong dan penduduk tempatan menikmati sarapan pagi. Alhamdulillah, kami berlapan menikmati sarapan pagi di sini dan makanannya memenuhi selera dan agak banyak. Dipendekan cerita makanan pagi ini telah dibayar oleh sahabat yang pemurah . Muga ALLAH gantikan dengan rezki berganda atas keiklasan di beri)

Jam 1100 pagi :
Perjalanan seterusnya kami akan ke Pulau Mabul.  ,Setelah beg dimuatkan ke bot, kami melangkah masuk dengan penuh semangat. Semua penumpang bot diwajibkan memakai live jacket sebagai langkah keselamatan.  En Naim sebagai pemudahcara merangkap pemandu pelancung bot kami ini. PElbagai cerita dan kisah tentang masyarakat Bajau laut, asal usul dan sejarah persekitaran disampaikan. Namun keterujaan saya bila berada di air dan sebagai musafir saya cuba membisikan ayat2 suci sebagai kekuatan dalaman dan "protection' Tambahan pula, suara En Naim terkadang terhalang dengan bunyi  enjin motorboat. Jadi saya lebih kepada pemerhati apa yang saya lihat dan pendengar apa yang saya dengar.Subhanallah airnya membiru dan suasana panas bahangnya terasa. Percikan air laut juga sesekali menempis baju, Saya tak pasti berapa kelajuan yang dibawa oleh pilot tersebut.


sekitar jam 12 tengahari
Kami membelah lautan biru sekitar 30- 40 minit. Pandangan air yang membiru bersaksi langit yang cerah sesekali daratan yang menghijau. Mata saya juga melihat dari jauh rumah laut dan tempat ternakan kerang. Suhu kepanasan juga yang memuncak bila sinar matahari memancarkan cahayanya dari balikan air laut.  Deruan angin juga tak mengalah.  Apabila menghampiri lokasi kawasan menginap ,saya perhatikan deretan rumah2 atas air yang berbaris seolah menggamit kedatangan kami  Saya tak pasti sama ada ini adalah rumah penduduk tempatan atau rumah transit sehinggalah bot kami berhenti. Subhanallah..

Mata saya terpukau, saya bagai bermimpi dapat menyaksikan satu anugerah ALLAH  . 
Subhanallah❤️
Pandangan pertama
Mataku memukau
Indahnya nikmat alam

Yang direntasi

Biarpun dibadai ombak

Di panas yg membahang

AnugerahMU
Untuk dinikmati
Untuk Disyukuri
Alhamdulillah

tangkapan pertama bila bot mematikan injinnya

Ahamdulillah..Syukur, Saya telah berada di bumi Pulau Mabul. Mabul merupakan pulau yng berbentuk bujur kecil yang dibentuk oleh pantai berpasir dan dikeliling terumbung karang yang cantik. Melihat kehijauan dan kejernihan airnya hingga ke dasar adalah satu yang pelik bagi saya. Lantas memijak anak2 tangga untuk naik ke jeti dan mata terus melirik ke pemandangan yang baharu . Subhanallah....
Andainya saya ditanya tika itu...subhanallah. 
bagai berdiri di cermin

Penginapan Anjung Hayat juga telah menyediakan makan tengahari pada kami. Sambil menanti bilik dibersihkan kami menjamu selera dahulu sambil menikmati pemandangan luas dari anjung dewan makan tersebut. Kelihatan beberapa perahu kecil anak2 bajau laut menghampiri. Kagum dengan mereka yang tahan panas yang membahang dgn mencari rezeki menjual hasil laut .


Pengarah Projek, Puan Zee telah memaklumkan selepas makan dan solat zuhur, aktiviti berikutnya ialah melawat kawasan sekitar pulau ini. Berbekalkan roti gardenia dan jajan yang dibawa, kami memulakan langkah meniti jambatan penghubung antara AH dan daratan. Di situ kami menemui Ketua Kampung yang sedia menyambut kami.  Selepas memperkenalkan diri, lokasi pertama dibawanya ialah ke Masjid maqbul yang merupakan pusat pengajian dan aktiviti agama islam. Di sini juga dibangunkan madrasah agama dan kelas KAFA yang mengajar anak2 tempatan dan anak2 bajau laut yang berminat.  Di sini anak2 sedang menghadapi ujian lisan dan kami tak mengambil masa yang lama untuk bersama mereka.  Saya juga dapati Muslim care sentiasa menjalankan aktivitinya di sini bagi mempastikan dakwah disampaikan dengan sempurna.


Kehidupan di sini sangat damai dan rumah yang didirikan juga adalah dari kayu sahaja.Tiada pencemaran udara dan asap motor kenderaan di sini.  Kami terserempak dengan kumpulan kecil anak2 dara bajau laut bersama ikan kering untuk di jual. Mereka ini pemalu dan tidak tahu berbahasa melayu. Ketua kampung memberitahu ciri2 orang bajau laut dan sikap mereka yang tidak terdedah dengan orang luar. Kami cuba senyum tapi dibalas tawar. 

bawa stok untuk edaran
Dalam perjalanan kami juga ...ada perkataan yang menjadi trade mark....agak2 apa ye? 
Hmmm...perempuannnn.  Ye bila pengarah projek  melihat kebelakang dan kami yang ketinggalan agak jauh dek kerana berposing ataupun kagum melihat suasana kampung dan persekitaran.  Beliau akan memanggil dengan panggilan itu dan sambil senyum. Fahamlah kami yang  itu adalah satu signal supaya speed berjalan di lajukan dan berada dalam kumpulan.   Jadi sahut menyahut itu menjadi trend .  



Kami juga menemui peronda Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).Mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan di sini dan kawalan darurat dikekalkan. Ini bagi mengelakkan  kedatangan pendatang dari Indonesia dan Filipina.





Suasana yang meriah lagi mencabar apabila kami masuk ke Kg Rama Relau. Pada mulanya jajan diberikan kepada kanak-kanak di sini dalam keadaan terkawal. Tetapi apabila jumlah yang datang serbu lebih ramai  hampir gawat dibuatnya.  Saya nampak dari riak wajah sukarelawan kita, mereka mampu senyum dan sekadar bersuara. Tiada kekasaran dan keganasan berlaku. Walau bagaimanapun tindakan pantas ahli ESSOM turut membantu mendisiplinkan mereka. Kita faham situasi mereka yang tak pernah melihat apatah lagi merasai sesuatu yang baharu dan mereka berebut untuk memperolehinya. Masyarakat bajau laut atau dikenali sebagai Pe Laut hanya bekerja mencari hasil laut dan bertukang membuat sampan.  Keupayaan mereka di laut tidak diragui lagi.


dah habiss
Semua jajan habis diberikan kepada anak2 yang ditemui. Sampai satu tahap, kami hampa kerana tiada apa lagi yang boleh diberikan dan berazam akan membeli dan memberi lagi kepada mereka..Selesai aktiviti petang itu, kami pulang ke penginapan dengan kepuasan walaupun peluh membasahi baju yang disediakan oleh Prisma Optometris.


tumpang teduh
Jam 4.30 petang,kami di jemput oleh Puan Faezah dan En Razali ke kawasan  penginapan mereka pula. Mereka datang bercuti  sehari lebih awal daripada misi sentuhan kasih.  Sekali lagi kami mengatur langkah dan singgah pekena ketam rebus yang telah diordernya . Alhamdulillah...Terima kasih Ezaly yang  melaksanakan aktiviti amal cara mereka. Di kwasan penginapannya,suasananya amat selesa kerana diteduhi dengan pepohon kelapa yang merendang. Pepasirnya pula memutih dan halus. Di sini saya mula berjinak dengan gigi ombak pantai . Ada juga sahabat yang telah mandi dan ombak lautnya selesa sekali. 



Di sini juga kami dihidangkan jualan fresh dari laut. Ketam , lobster yang masih hidup ditawarkan dengan harga yang boleh ditawarkan. Alhmdulillah, tidak ketinggalan, kami bersepakat dan membeli hasil laut tersebut sebagai menu makan malam.


Misi berikutnya ada sahabat yang menyambung mandi,berenang dan bermain air di pelantar depan penginapan sahaja . Manakala saya pula lebih selesa bersama kamera dan telepon untuk mengambil sebanyak mungkin moment indah selama di sini. Subhanallah saya katakan, satu kelainan teramat bila mata menyaksikan sendiri perubahan mentari menjelang malam dan sang rembulan yang mengambil tempatnya. Apabila menjelang magrib, saya melupakan seketika  pandangan tersebut kerana ada tuntutan yang wajib dilaksanakan .


di pelantar

Jam 8.00 malam. 
Menu seafood sedia terhidang. Masya ALLAH pelbagai citarasa menu  ketam,kerang dan lobster menjadi jualan bersama. Dengan Bismillah.....kami menikmati keenakannya.

;
;



Usai makan kami masih agak keletihan dan mohon undur  diri untuk merehatkan badan.
Alhamdulillah.....nikmat hari ini adalah satu anugerah bersama.     


..bersambung..

catatan 30/4/2019