Pesan Imam Syafie: “Jika engkau punya teman yang selalu membantumu dalam merangka ketaatan kepada Allah S.W.T, maka peganglah dia erat-erat, jangan pernah kau lepaskannya. Kerana mencari teman yang sebaik itu susah, tetapi melepaskannya sangat mudah sekali.”
Setiap kita menginginkan sahabat yang soleh. Sahabat yang selalu mendorong kita untuk membuat kebaikan ke jalan yang dirahmati Allah. Sahabat yang tidak akan membiarkan kita lalai dari melaksanakan kewajipan. Sahabat yang sentiasa membantu dan menguatkan kita dikala senang mahupun susah.
Lihat kisah Nabi Musa ketika munajat mencari sahabat sebagai pembantu:
وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي
dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku,
هَارُونَ أَخِي
(yaitu) Harun, saudaraku,
اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي
teguhkanlah dengan dia kekuatanku,
وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي
dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku,
كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا
supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau,
وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا
dan banyak mengingat Engkau.
(Surah Taha: 29-34)
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, beberapa petunjuk dapat kita ambil dalam bersahabat, antaranya:
1. Ayat ini menceritakan bagaimana Nabi Musa A.S meminta kepada Allah SWT agar diberi pendukung atau teman dalam kerja dakwah dan menyifatkan sifat pendukung dakwah yang baik.
2. Oleh kerana setiap mukmin itu pembantu bagi mukmin yang lain dalam urusan bermasyarakat dan bernegara, maka perlulah seorang mukmin untuk menghiaskan dirinya dengan sifat-sifat seorang rakan seperjuangan yang baik - sifat 'Harun' (antaranya petah berbicara) bagi nabi Musa A.S.
3. Meneguhkan sahabat kita dalam usaha sama-sama memperkukuhkan Islam dan menyebarkan Islam dengan membantu dia melalui pelbagai cara. Kehadiran kita bersama sahabat kita hendaklah menatijahkan rasa kekuatan dalam diri setiap kita. Kehadiran kita merupakan aset bukan beban.
4. Sentiasa bersama dalam kerja. Bukan rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita sentiasa membiarkan sahabat bersendirian melaksanakan kerja Islam sedangkan kita berehat di rumah. Bukan rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita tidak merasa bersalah untuk datang lewat atau pulang awal sehingga sahabat kita harus memikul kerja yang lebih dari kita untuk menyempurnakan sesuatu urusan. Bukan rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita sentiasa menolak kerja kepada sahabat kita sehingga kerja kita menjadi kerja dia dan kerja dia kekal menjadi kerja dia.
5. Saling mentarbiahkan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perbanyakkan tasbih dan zikir. Sebagai rakan seperjuangan, kita menjadi inspirasi bagi sahabat kita untuk beribadah dan menggandakan amal bukan melekakan dia atau menjadi sumber lagho (kelalaian).
6. Kehadiran sahabat memantapkan perasaan kita bahawa Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan













