Lokasi :Masjid Al Taqwa, TTDI KL
Waktu : duha
Tarikh :25/10/2022
disemadikan di tanah perkuburan Bukit Kiara
Sekujur kaku jasad nenek di pembaringan seusai dikafankan di surong keluar ke ruang menunggu. 3 orang cucu yang menunggu menyeka airmata berkali - berkali mula menghampiri jasad tersebut. Mereka memegang jasad yang berselimut putih ini dan membelainya dengan penuh kasih. Mencium dan mencium lagi..Ditatap wajah almarhumah nenek, dicium dan pipinya diusap. Wajah nenek seakan tenang. Wajah tua yang penyayang dari keturunan cina. Saya turut mendoakan semoga almarhumah juga diampuni dan dicucuri rahmat hingga ke syurga.
Nenek nak pergi jauh dan akan meninggalkan cucu2 kesayangannya. Pandangan terakhir yang akan terus mengukir rasa betapa pilunya sebuah perpisahan. Menangis lah nak, kerana kita tak jumpa lagi susuk tubuh ini di rumah kerana jenazah nya akan terus di bawa pergi selepas disolatkan nanti.
Melihat senario kematian adalah satu muhasabah buat diri. Mengandaikan yang terkujur kaku adalah diri ini, seorang kembara kehidupan yang menumpang di sudut dunia ini. Kaku dan beku. Segalanya diserahkan kepada waris yang sudi.
Saya menyaksikan, cucu-cucu ini seolah-olah tak melepaskan nenek mereka pergi. BELUM puas bermesra dan melayan nenek. Betapa kasih yang mendalam hubungan family ini. Mereka tahu menghargai dan menghormati nenek yang pergi tak kembali. Bertuah nenek empunya anak dan cucu-cucu yg mengerti tanggungjawabnya. Sukar untuk mencari suasana begini kerna ramai orang sudah menswastakan tanggungjawab kepada rumah orang2 tua menguruskannnya.
Puan Rosna, mantan Timbalan Pengarah di RTM bukan asing bagi saya. Dia seorang yang berjawatan tinggi tetapi sentiasa merendah diri dan amat pemurah. Malah melekat panggilan namanya kak Ros berbanding Pn Rosna hingga kini. Biarpun telah lama bersara tetapi menjelang ramadan, dia akan menghubungi saya untuk berinfaq dan bersedekah.
Sejak dia masih dlam jawatan lagi dia suka memberi dan menyumbang. Bukan setahun tetapi dah bertahun dia akan belikan berkotak2 kurma dan kain pelikat untuk diedar kepada yang perlu. Saya bukan takat menyaksi tetapi turut menerima amanah menyampaikan sumbangan tersebut.
Di penghujung terakhir ramadan pula beliau berikan sejumlah duit untuk saya uruskan bagi pihaknya kapada asnaf dan masjid/surau utk juadah berbuka terutama nya di malam ganjil. Saya laksanakannya sebagai satu amanah dan berharap dapat barokahnya jua.
Fahamlah saya selama ni kak Ros dan familynya menjaga almarhumah bondanya di rumah dengan baik. Dari tika sihat sehinggalah meninggal. Kasih sayang dan teladan yang baik menjadi didikan dari rumah bagi membentuk adab dan akhlak anak2 nya. Keikhlasan mereka menghormati nenek dapat kita nilai dengan pemerhatian kita bagaimana mereka menyayangi sekujur tubuh nenek mereka yang telah meninggal dunia.
Saya bersalaman dan mengucapkan takziah. Tak mampu saya luahkan betapa saya mengerti perasaannya tika itu. Ya bos, ya kak ros kita terpaksa melepasnya pergi walaupun dalam terpaksaan. Inilah hukum alam. ALLAH telah memberi peluang untuk kak Ros menjaga dan menunaikan kewajiban kepada emak tercinta. Ianya telah disempurna dengan jayanya. Berbahagialah bonda kerana di usia tua dia boleh menikmatinya bersama anak dan cucu-cucunya. Semoga Allah ampuni almarhumah bonda kak ros dan menempat kan rohnya di kalangan solihin dan ditemukan semua di syurga kelak. Al fatihah dan Al ikhlas dibaca dan dihadiahkan.
Saya terpaksa meninggalkan masjid tersebut sebelum solat jenazah. Ada program selawat yang perlu saya hadir dengan sahabat di Shah Alam. Hajat di hati ingin tunggu hingga selesai tetapi kerna ada janji yang perlu dilunaskan saya terpaksa mengundur diri.
Melihat kematian amat menginsafkan. Ada yag sempurna dalam jagaan waris malah ada juga umpama kain buruk. Malah tak diambil peduli di mana bersemadi. Rezeki kita tak sama tetapi kita sebagai manusia sentiasa di muliakan Allah.
Marilah kita ambil iktibar..
Kematian datang tak kira usia dan di mana. Buktikan cinta kasih family dengan menjadi ikon keluarga yg terbaik. Paksinya agama dan keimanan yang di gilap dari hari ke hari. Semoga jannah dicari, kita temui bersama.
Buat anak anak semua...
Yang tua akan pergi dan yang muda akan mengganti. Inilah hukum alam yang bersifat sementara. Jauhi rasa ego dan lupa asal-usul kejadian. Belajarlah untuk menghormati dan menyantuni yang tua dan ambillah iktibar dari kisah kehidupan orang. Semoga yang baik baik mewarnai kita semua.
Mohon maaf andai mengguris rasa dan menyentap ingatan pada yg pergi
Al Fatihah.
![]() |
| bagai tak puas kak ros menatapnya. |


No comments:
Post a Comment