Melihat sekujur tubuh kaku seorang bonda, berpulangnya keramat dunia yang selama ini sentiasa didambakan oleh anak-anak. Melihat redup mata sang anak, saya amat memahaminya.. bagai meronta minta ditangguhkan, belum puas ditatap dan menabur khidmat. Masih banyak yang belum sempurna bagi menghargai pengorbanan seorang ibu. Terasa bilah waktu kan disulam dan dihiasi indah dengan trilion memory.
Melihat keranda diusung, perpisahan kian mendekat. Jasad yang dimuliakan disantuni dengan penuh hormat, namun kali ini bonda tak mengeluh lagi. Ibu tak mengadu sakit bahkan semua derianya tak berfungsi lagi. Bacaan doa, al fatihah dan al ikhlas diucap anak berkali-kali. "YA ALLAH ampunilah bonda kami..berikan kemuliaannya di sana dan luaskan tempat semadinya dan tempatkan dia di kalangan solihin dan sebaris dengan baginda rasul". Air mata di seka, namun tak dapat dibendung lagi...mengalirlah sederasnya membuktikan inilah cinta kita. Jasad bonda akan pergi jauh dan kita takkan dapat lagi bertemunya lagi di sini.
Mengiringi sebuah perjalanan menuju ke ALLAH, teka teki bermain di kepala...bagaimana penghujung kita kelak. Di mana pula disemadikan dan siapakah yang akan mengirim doa dan adakah pahala yang terus mengalir?? Kematian adalah benar itulah peringatan ustaz yang membaca tahlil. Mengambil iktibar dengan kematian marilah kita menggunakan hayat yang masih berbaki untuk terus buat yang terbaik. Berusaha membahagiakan orang yang kita sayang dan temui dan selagi ada hayat pergunakanlah masa, ilmu dan tenaga untuk ummah. Semua akan menyaksikan kita kelak.
Bagi yang masih mempunyai syurga dunia, berusahalah membahagiakan emak dan ayah kita. Ini adalah peluang keemasan dan bonus untuk meraih pahala. Hargailah mereka walau di manapun asal usul kita. Usah dipersalahkan masa kelam mereka kerana kini kita diberi cahaya. Suluhlah hati dengan ilmu dan berbakti. Ambilah iktibar dengan fenomena menyerahkan urusan menjaga emak ayah kepada pusat jagaan orang tua. Mereka tidak meminta dihantar ke situ tetapi terpaksa merelakan demi kelangsungan hidup tanpa darah daging di penghujung usia. Kisah ini tiada kesudahannya jika tidak dilihat dengan mata hati. Semoga ALLAH bukakan pintu hati kita untuk mengakui kesilapan diri dan memaafkan kesilapan emak ayah kita.
Buat diri yang telah tiada syurga dunia, hanya kenangan dan rindu yang tak berkesudahan. Membuat yang terbaik dengan menghulurkan doa dan pahala harian. Sejujurnya memang tak sama tetapi perlu dipaksa diri ini untuk buat kebaikan dan dihadiahkan pahala kepada mereka. Maafkan kami anak yang sering alpa...
Mengambil iktibar selepas menziarahi kematian Bonda Puan Putri Joliana. Saya menyaksikan ramai yang menziarahi dan turut bersolat jenazah dan mengiringi hingga ke tanah perkuburan. Semoga ALLAH ampuni almarhumah bonda dan rahmatinya dan tempatkan dikalangan solihin. Salam takziah utk puan Putri dan seluruh familynya.
(Dua orang daripada adik beradik puan Putri iaitu kakaknya (aruah) dan Adiknya En. Meor pernah menjadi pensyarah ketika saya belajar di UTMKL Space) alhamdulillah dan terima kasih. Saya dapat turut serta solat jenazah untuk almarhumah bonda mereka.


1 comment:
AL- Fatihah buat semua muslimin muslimat yg telah mendahului kita terutama buat mak & abah yg tlh 15 thn meninggalkan ku......
Post a Comment