Tuesday, January 12, 2021

Hati

Berhati-hatilah dalam setiap perkataan yang kita ucapkan. Sering orang sakit hati atau berkecil hati kerana kegagalan kita mengawal lidah.

Orang yang sentiasa berjaga-jaga dalam percakapan adalah orang yang sedar bahawa jika dia di tempat itu pasti juga dia akan merasa marah.

Memanglah kita ini tak sempurna, tak ada manusia hebat yang tak ada buat silap. Usahlah mencari salah orang sedangkan kita sendiri penuh dengan aib,ego dan hilang kejujuran.

Mana nak datang rasa tenang jika asyik berburuk sangka dan berhasad dengki. Masing-masing ada kehidupan, ada keluarga, jika kita tak buat silap, mungkin anak cucu kita pula yang buat kesilapan.

Hidup ibarat roda, usah menuding jari, kau salah, dia salah dan aku baik. Itu sombong namanya. Belum kena batang hidung sendiri tentulah tak akan sedar ada kelemahan diri.

Gunakanlah anugerah yang Allah beri.
Mulut berkata yang baik.
Tangan menulis yang baik.
Telinga mendengar yang baik.
Mata melihat yang baik.
Maka yang datang pun insya-Allah yang baik.

Orang buruk sangka dengan kita,
Benci kita,
Menyampah dengan kita, 
biarkanlah.

Memang jika ikutkan perasaan mahu saja membalas semula.
Tapi kalau dibalas, kita sama seperti mereka.
Tiada nilai diri.
berdiam lebih baik

Mahukah kita memberi imej diri yang buruk?
Maka bersangka baiklah dalam apa jua perkara.
Diuji itu rezeki.
Diberi nikmat alhamdulillah.

Allah sayang hamba-Nya walaupun ada yang ingkar perintah-Nya titipan rezeki masih dirasai. 
Jangan kata nanti untuk bertaubat. Masa tak akan menanti tapi kita yang kena mengejar.

Ada kekurangan perbaiki segera. Usah ada alasan bertangguh takut pergi nanti tak sempat bertaubat.

Begitu lah.

Pesanan pada diri.

No comments: