Tuesday, July 31, 2018

Solat Sunat Tasbih dan Khatam Al Quran Muslimat Angkasapuri PUSPANITA


Laporan 2 : Program Solat Sunat Tssbih dan Khatam AQ Muslimat Angkasapuri, RTM
Tarikh:  5/6/2018 – Selasa.
Masa: 9 pagi- 1230 tengahari
Tempat: Ruang Utama Solat, Masjid Muhammadi, Angkasapuri, KL
 __________________________________________________________________
Dengan bertemakan ‘ Semarakkan Ramadan 1439H’ satu program Solat Sunat Tasbih dan Khatam Al Quran Muslimat Angkasapuri telah diadakan. Program anjuran PUSPANITA dengan kerjasama Masjid Muhammadi adalah antara aktiviti yang telah disusun sempena mengimarahkan Ramadan kali ini.

Penyertaan program ini  terbuka kepada muslimat Angkasapuri. Seramai  80 orang peserta (termasuk tetamu ) telah turut serta yang terdiri dari kakitangan RTM, IPPTAR, ahli dan bukan ahli PUSPANITA RTM. Turut hadir adalah isteri Pengerusi Masjid Muhammadi iaitu Datin Radziah. Pembimbing keseluruhan program ini ialah Ustazah Nourul Iman  binti Sheikh Nia’mat, seorang pendakwah bebas, ahli panel program Tanyalah Ustazah Tv9 dan program Fiqh wanita TV3.

Para peserta bukan sahaja dapat mempraktikkan solat tasbih secara berjamaah tetapi juga ukhuwah sesama mereka juga dapat dipupuk. Bagi yang biasa menunaikan solat tasbih ini mungkin tidak menjadi halangan tetapi bagi yang pertama kali mengerjakannya, ia memerlukan bimbingan dan ilmu. Solat tasbih diajarkan oleh Rasullullah s.a.w kepada Saidina Abbas bin Muthalib.  Sabdanya “ Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah, jika tak mampu maka lakukanlah setiap hari jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali” (Hadis riwayat Abu Daud dan ibnu Majah)


Munajat bersama 
Usai solat tasbih, tazkirah ringkas disampaikan oleh Ustazah Nourul Iman dengan kupasan hadis berkaitan mudahnya wanita masuk syurga. Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa di Ramadan, memelihara maruah dan taat kepada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki”.    Mudahnya seseorang wanita masuk ke syurga berbanding lelaki apabila wanita itu mematuhi apa yang telah ditetapkan dalam agama islam.  Sama-samalah kita berazam untuk masuk syurga dan bermuhasabah.


Kemuncak pengisian ialah program Khatam Al Quran. Ini merupakan pelengkap kepada program tadarus Al Quran yang telah diadakan pada 31 julai 2018 yanglepas. Majlis Khatam AL Quran mempunyai banyak kelebihan dan digalakkan menyertainya. Dalam majlis ini kita dapat bersama-sama berdoa mengharapkan Al Quran menjadi sahabat kita di dunia dan akhirat. Menemani dan menerangi di alam kubur, menjadi pembela dan saksi di hari masyar juga menjadi  asas tindakan harian kita.  Orang yang berpegang kepada Al Quran akan dipelihara oleh Allah. Doa yang diaminkan juga sangat relevan dengan kehidupan semasa kita.


tafakur

Sebelum mengakhiri program, penyerahan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan kelainan upaya diadakan. Pihak urusetia telah mengenal pasti 17 orang anak yatim dan 7 orang anak kelainan upaya di kalangan staff RTM untuk menerima sumbangan tersebut.  (Senarai lengkap disertakan). Sumber kewangan ini diperolehi daripada sumbangan individu seperti Dato Ketua Pengarah Penyiaran,  Puan Norliza Ali, Puan Norehan, Kelab Sukan dan Rekreasi RTM dan lain-lain.  Turut menerima sumbangan cenderamata ialah 63 peserta tadarus yang diwakili ketua kumpulan masing-masing . Terpancar keceriaan di wajah semua penerima. 


sumbangan raya

ustazah pembimbing 



Majlis berakhir pada jam 12.30 tengahari. Para peserta diberikan slip kehadiran oleh urusetia. Diucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan program ini. Keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama semua peserta.



No comments: