Tuesday, March 17, 2009

nilai sahabat


10 PERKARA YANG PERLU ANDA AMBIL TAHU...


Nilai persahabatan memang terlalu tinggi untuk diungkapkan, tetapi bagaimana caranya untuk mengenal sahabat anda? Dan, bagaimana caranya untuk tahu jika sahabat baik anda sekarang benar-benar layak dipanggil 'sahabat'? 10 perkara dibawah pastinya dapat memberi gambaran jelas erti persahabatan anda yang terjalin sejak sekian lamanya.

1 Sahabat yang sejati tidak ramai. Ertinya, jika anda mahu mengenal siapa sahabat anda yang sebenar, selalunya dia adalah di antara mereka yang istimewa dalam hidup anda. Dia bukan sekadar kenalan anda yang ramai, tetapi tidak pula membawa kesan berkekalan.

2 Sahabat yang jujur. Kejujuran di sini bermakna anda dan sahabat anda boleh sama-sama memberi pendapat dan komen baik yang positif mahupun negatif demi kebaikan, bukan sekadar menyedapkan hati dan telinga. Walaupun kedangkala pedih, ia dilakukan demi kebaikan bersama.

3 Sahabat yang baik hatinya ikhlas. Jarang sekali manusia melakukan kebaikan kecuali mereka mahukan sesuatu sebagai balasan. Jadi, anda perlu ambil tahu sama ada sahabat anda itu ikhlas hatinya atau pun tidak. Jika dia ikhlas, maka dia adalah sahabat yang sejati.

4 Sahabat yang baik tidak cepat menilai. Dalam hidup, semua orang menilai kita dan membuat tanggapan yang (selalunya)
salah. Tetapi, sahabat yang baik tidak menilai anda, malah dia menerima diri anda seadanya seperti juga anda menerima dirinya.


5 Sahabat yang mengerti, sentiasa mendengar. Asalkan kena pada caranya dan anda tidak pula terlalu meminta perhatian, sahabat anda sentiasa mahu mendengar segala keluhan rasa hati anda. Oh ya, jangan lupa anda juga perlu mendengar suara hati sahabat anda itu!

6 Sahabat yang sejati, akan setia bersama. Seseorang yang bergelar sahabat akan cuba menemani bukan hanya ketika waktu ketawa, tetapi lebih utama, waktu kita sedang menangis dan kesepian. Bagaimana pula dengan sahabat baik anda?

7 Sahabat yang sebenar juga boleh menyimpan rahsia anda. Adakah sahabat baik anda seorang yang boleh dipercayai? Jika tidak, maka kemungkinan besar gelaran itu terlalu tinggi untuk diberikan kepadanya.

8 Sahabat yang baik, tidak menikam anda dari belakang. Ramai yang sering mengaku sahabat tetapi tidak setia dalam persahabatan. Jika anda ditikam dari belakang oleh sahabat yang dipercayai, masihkah anda memanggil insan itu sahabat?

9 Kata teman baik saya, sahabat sejati boleh dibawa pulang ke rumah, bukan sekadar bersembang di tepi jalan atau di kedai kopi ice-blended . Jika anda masih merasakan sahabat itu tidak boleh dibawa pulang, besar kemungkinan dia bukanlah sahabat sebenar.

10 Sahabat yang layak digelar sahabat, membawa ke jalan kebaikan. Tidaklah dipanggil sahabat jika dia membawa anda ke arah kerosakan. Jika anda dan dia bersama-sama menjadi manusia yang lebih baik, itulah yang dipanggil persahabatan sejati.

No comments: